Gelombang haba: Hospital Iran sedia hadapi kemungkinan peningkatan pesakit 


Suhu di selatan Iran dilaporkan meningkat melebihi 50 darjah Celsius pada minggu ini. – Gambar EPA, 4 Ogos, 2023.

HOSPITAL di Iran bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit ekoran suhu panas terik diramalkan melanda pada minggu ini.

Kementerian Kesihatan menggesa penduduk mengelak daripada terdedah kepada cahaya matahari antara 10 pagi dan 4 petang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Jumaat.

Menurut laporan itu, hospital mula menyaksikan peningkatan kes berkaitan strok haba.

Kerajaan Iran telah pun menutup pejabat kerajaan, sekolah dan bank selama dua hari pada minggu ini kerana gelombang haba. 

Jumaat merupakan hari cuti di Iran yang bakal menyaksikan kira-kira dua juta penduduk mengunjungi destinasi popular berhampiran Laut Caspian.

Gambar yang disiarkan akhbar Shargh menunjukkan jalan raya di sepanjang laluan ke Pergunungan Alborz sesak.

Selama ini penyelidik telah memberi amaran mengenai peningkatan kemarau di rantau ini, terutamanya akibat pengaruh perubahan iklim.

Suhu di selatan negara itu meningkat melebihi 50 darjah Celsius pada minggu ini. – Bernama, 4 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen