KTMB sedia tren ETS tambahan sempena PRN, cuti sekolah


Tren tambahan bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar sempena PRN dan cuti sekolah akan datang menawarkan sejumlah 8,190 tiket yang akan mula dijual pada 10 pagi esok. – Gambar KTMB, 4 Ogos 2023.

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan dua perkhidmatan tambahan tren elektrik (ETS) bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar sempena pilihan raya negeri (PRN) dan cuti sekolah akan datang.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Ogos untuk PRN dan 10 hari bermula 25 Ogos hingga 3 September sempena cuti sekolah. 

Tren tambahan itu menawarkan sejumlah 8,190 tiket yang akan mula dijual pada 10 pagi esok.

“Setakat hari ini, tiket perkhidmatan ETS sedia ada telah 68% dijual.

“Bagi memudahkan orang ramai pulang ke kampung halaman, KTMB sekali lagi menawarkan tren ETS tambahan terutamanya mereka yang akan pulang mengundi di  Pulau Pinang dan Kedah,” menurut kenyataan itu.

Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – Bernama, 4 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen