PAS Pulau Pinang bincang dengan ahli isu pencalonan Dominic Lau


PAS Pulau Pinang akan menerangkan keadaan supaya permasalahan yang timbul dalam kalangan ahli parti dapat diselesaikan dengan baik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2023.

PAS Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan ahli parti itu berhubung isu pencalonan Presiden Gerakan Dr Dominic Lau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusoff berkata ia bagi menerangkan keadaan supaya permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

“Kita sentiasa cuba tangani masalah ini…jentera PAS akan akur dan turun padang membantu kempen (Lau). Ini arahan daripada pucuk pimpinan PAS, kita akan berikan sokongan kepada semua calon-calon yang dikemukakan,” katanya kepada Bernama di Butterworth hari ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini meminta ahli dan penyokong parti itu untuk menerima pemilihan Lau sebagai calon DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu dengan hati terbuka.

Takiyuddin berkata keputusan mengenai pemilihan Lau dibuat dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat yang ditetapkan.

Lau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan penyandang kerusi DUN berkenaan Azrul Mahathir Aziz daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRN Pulau Pinang, 12 Ogos ini. – Bernama, 4 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen