Sanusi diminta jelaskan lawatan ke lokasi disyaki lombong haram REE


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan beberapa keping gambar lawatan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ke ke lokasi dipercayai berlaku perlombongan haram unsur nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik pada 19 Februari lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor diminta memberikan penjelasan mengenai lawatannya ke lokasi yang dipercayai berlaku perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik pada 19 Februari lepas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memohon penjelasan itu berikutan pendedahan beberapa keping gambar lawatan Sanusi ke lokasi berkenaan selain mempersoal tindakan yang diambil berhubung perkara tersebut.

“...sebenarnya dah ada lawatan itu, foto pada 19 Februari yang diambil, maksudnya seawal 19 Februari tahun ini menteri besar Kedah telah turun dan menyaksikan sendiri insiden kecurian ini, dia tengok sendiri kemusnahan kawasan, bagaimana cari gali secara intensif dilakukan.

“Melibatkan kawasan sedemikian luas, namun daripada tarikh itu tiada tindakan yang benar-benar serius diambil oleh beliau selepas lawatan ke tempat lokasi kejadian, bukan sekadar balik diam dan tak buat apa-apa, (tetapi) beliau telah terus menafikan bahawa beliau mempunyai maklumat tentang kejadian ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Saifuddin berkata keadaan itu menimbulkan kebimbangan serius tentang isu ketelusan dan akauntabiliti pemimpin tersebut.

Beliau juga mempersoal ketiadaan kertas siasatan dibuka berkaitan perlombongan haram dan kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, sedangkan pengarah Tanah dan Galian Kedah juga merupakan ahli Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri selain memegang jawatan penting sebagai ahli Panel Penasihat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

“...beliau (pengarah Tanah dan Galian Kedah) juga merupakan ahli Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri iaitu pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyiasat perkara yang berkaitan dengan Enakmen Mineral (Kedah) 2004…kesan perlombongan haram dan pencurian REE melampaui kebimbangan alam sekitar.

“Dan ia membawa risiko ekonomi yang besar. Adalah penting mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab menegakkan undang-undang mengambil tindakan tegas untuk melindungi sumber semula jadi,” katanya.

Saifuddin berkata Sanusi mengetahui segala operasi berkaitan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, sekali gus menteri besar Kedah itu perlu menjawab isu tersebut secara terperinci termasuk penglibatan seorang warga China yang kini menghilangkan diri. – Bernama, 3 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen