Kejayaan pentadbiran bergantung kerangka dasar teguh, kata Rafizi


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerangka dasar perlulah inklusif dengan melibatkan banyak agensi dan pihak berkepentingan untuk memastikannya berkekalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2023.

KERANGKA dasar yang baik dan teguh perlu bersifat altruistik untuk membuahkan kejayaan dalam pentadbiran di tengah-tengah perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kerangka dasar itu perlulah inklusif dengan melibatkan banyak agensi dan pihak berkepentingan untuk memastikannya berkekalan.

“Kerangka dasar hanya mampu kekal (pentadbiran) sekiranya membuahkan hasil dan bersifat altruistik. Ia (juga) demi manfaat kepada negara bahawa kerangka dasar ini perlulah munasabah.

“Sukar untuk sesiapa sahaja yang datang selepas anda (berikutan perubahan dalam pentadbiran) untuk mempertikaikan (dasar itu), kerana tiada kepentingan diri di dalamnya, memanfaatkan rakyat sebanyak mungkin dan diterjemahkan kepada jumlah makro lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan legasi yang diteruskan berikutan perubahan dalam pentadbiran pada sesi Dialog Peringkat Menteri dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang di Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Senada dengan Rafizi, Chang berkata kesinambungan dan kekekalan dasar adalah penting untuk memastikan ekonomi Malaysia berkembang mampan dan kekal berdaya saing di peringkat global. 

Beliau berkata, sekiranya berlaku perubahan dalam pentadbiran terutamanya di peringkat menteri, persaingan dari segi “siapa yang boleh melaksanakannya dengan lebih baik” atau “siapa punya dasar” sewajarnya tidak dijadikan isu, sebaliknya memberikan tumpuan kepada “apa yang baik untuk negara.”

Dalam perkembangan lain, Chang berkata syarikat pemula niaga disaran mendapatkan dana dari luar Malaysia yang berpotensi lebih besar, dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Kita telah melihat banyak produk dan inovasi. Tetapi, banyak yang hanya berharap untuk mendapat pendanaan kerajaan untuk mereka meneruskan penyelidikan dan pembangunan.

“Kerajaan juga mempunyai had dan kita hanya berupaya membiayai beberapa produk atau inovasi, sekali gus mengharapkan kejayaannya,” katanya. – Bernama, 3 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen