RUPEE India (INR) hanyalah “mata wang asing yang ditetapkan” di Sri Lanka dan tidak boleh digunakan untuk membuat pembayaran dalam negara, kata Bank Pusat Sri Lanka (CBSL).
Penjelasan itu dikeluarkan semalam untuk melenyapkan kekeliruan sama ada mata wang India menjadi mata wang sah diperlakukan (legal tender) di negara pulau itu.
“Kebenaran INR sebagai mata wang yang ditetapkan tidak menjadikan INR sebagai mata wang sah diperlakukan di Sri Lanka untuk pembayaran/penyelesaian domestik. Sebarang transaksi yang dilaksanakan antara penduduk di Sri Lanka hendaklah dalam LKR (Rupee Sri Lanka), sebagai mata wang sah diperlakukan di Sri Lanka.
“Oleh itu, CBSL meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penyalahgunaan fakta yang tular dalam domain awam mengenai INR,” kata CBSL.
Bank pusat itu berkata Sri Lanka pada masa ini mempunyai 16 “mata wang asing yang ditetapkan” untuk menggalakkan perdagangan rentas sempadan, dengan rupee India menjadi sebahagian daripada pengaturan pada Ogos 2022. – Bernama, 3 Ogos, 2023.
Komen