Abdul Taib pulang ke Sarawak tidak lama lagi, kata Abang Johari


Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud akan pulang ke Sarawak dalam masa terdekat selepas menghabiskan percutiannya di luar negara. – Gambar sarawak.gov.my, 3 Ogos, 2023.

PREMIER Sarawak Abang Johari Openg mengesahkan Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud akan pulang ke negeri itu dalam masa terdekat selepas menghabiskan percutiannya di luar negara.

Tanpa mendedahkan tarikh kepulangan berkenaan, Abang Johari berkata Abdul Taib kini masih berehat dan status kesihatannya dilaporkan semakin pulih.

“Beliau (Abdul Taib) pergi bercuti di luar negara dan jatuh sakit… keadaannya ketika ini pulih dan beliau sedang berehat. Beliau akan balik (ke Sarawak),“ katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak di Kuching hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menafikan dakwaan palsu beberapa pihak tidak bertanggungjawab sejak kebelakangan ini yang tular di media sosial berkenaan situasi kesihatan Yang Dipertua Negeri Sarawak itu.

Semalam satu poster hitam putih palsu tertera nama dan tahun kelahiran Abdul Taib yang turut disertakan kapsyen al-Fatihah dan logo sebuah stesen televisyen tempatan telah tular di media sosial.

Pihak stesen televisyen terbabit mengeluarkan kenyataan menafikan poster berkenaan dan memohon maaf kepada keluarga Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pada Selasa Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata keadaan Abdul Taib yang ketika ini dalam fasa pemulihan tidak memerlukan pelantikan pemangku Yang Dipertua Negeri.

Pada 23 Jun lepas, Pejabat Astana Negeri Sarawak turut membuat laporan polis berhubung maklumat palsu mengenai tahap kesihatan Abdul Taib yang disebarkan di media sosial.  – Bernama, 3 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen