AMERIKA Syarikat (AS) mempelawa Menteri Luar China yang baharu dilantik Wang Yi untuk mengadakan lawatan rasmi ke Washington.
Jurucakap Jabatan Negara AS Matthew Miller memberitahu pemberita semalam Washington memanjangkan jemputan itu semasa mesyuarat pegawai AS dan China.
Belum ada tarikh yang dijadualkan, Agensi Anadolu memetik kenyataan Miller dalam taklimat media.
Penolong setiausaha AS bagi hal ehwal Asia Timur dan Pasifik, Daniel Kritenbrink, mengadakan pertemuan dengan ketua pengarah hal ehwal Amerika Utara dan Oceania di Kementerian Luar China, Yang Tao, di Washington pada Selasa.
Pertukaran peringkat tinggi antara Washington dan Beijing meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila kedua-dua negara mengambil langkah jelas untuk menstabilkan hubungan dua hala.
“Kami memanjangkan jemputan yang telah dibuat sebelum ini kepada menteri luar Qin Gang,” kata Miller.
Qin dipecat bulan lepas.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken, Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dan utusan iklim John Kerry antara tiga pegawai peringkat tinggi AS yang melawat Beijing dalam tempoh dua bulan lalu.
Setiausaha Perdagangan Gina Raimondo dijangka melawat Beijing akhir bulan ini. – Bernama, 3 Ogos, 2023.
Komen