DUN Selangor lulus usul kecam SPR, hantar surat kepada speaker Parlimen


Diyana Ibrahim

Usul tersebut dibahaskan lebih daripada sejam, dan sejurus selepas itu Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh menghantar surat pengecaman kerajaan negeri kepada Speaker Parlimen Pandikar Aman Mulia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2018.

SIDANG Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini meluluskan usul mengecam tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menggesa agensi itu menarik kembali laporan persempadanan semula bahagian pilihan raya dan digantikan dengan cadangan yang lebih baik.

Usul tersebut dibahaskan lebih daripada sejam, dan sebaik ia diluluskan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh menghantar surat pengecaman kerajaan negeri kepada Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia.

“Kami ingin beritahu sebaik saja usul ini diluluskan, speaker Hannah Yeoh menghantar surat kepada Speaker Di Dewan Rakyat tentang pendirian kita yang mengecam laporan tersebut dan keputusan untuk membentangkan di Parlimen, ” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar pada sidang media hari ini.

 

Xavier berkata usul pengecaman  tersebut juga sebagai tanda protes wakil rakyat Selangor diwakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai pembentangan laporan persempadanan pilihan raya di Parlimen hari ini.

“Kita mahu menyatakan protes dan menghantar mesej kepada speaker di Parlimen bahawa DUN Selangor telah meluluskan usul mengecam persempadanan semula dan kita semua menolak laporan tersebut.”

 

Laporan pensempadanan semula pilihan raya telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dan dijangka akan diluluskan hari ini selepas perbahasan dilakukan.

Jika usul pensempadanan semula pilihan raya diluluskan, Selangor akan menjadi negeri paling terjejas.

Pembangkang mengkritik laporan pensempadanan itu kerana menganggap ia tidak adil dan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Menyifatkan apa yang berlaku di Parlimen sebagai ‘hari hitam’, Xavier mendakwa tindakan speaker itu sebagai subjudis kerana membenarkan pembentangan laporan walaupun mengetahui kes bantahan masih berjalan di Mahkamah Rayuan.

“Ia isu subjudis, sebab masih ada empat kes di Mahkamah Rayuan berhubung isu ini tapi Speaker tidak menghiraukan perkara tersebut dan membenarkan pembentangan laporan pensempadanan semula. 

“Kemudian tidak semua wakil rakyat Pakatan Harapan dibenarkan untuk berbahas dan Parlimen tidak harus dijalankan seperti ini. Tidak ada rasa hormat kepada undang-undang Parlimen dan prosedur dan peraturannya demokrasi. Hari ini merupakan hari hitam buat kita semua.”

Terdapat dua kes mahkamah mengenai cabaran kerajaan Pulau Pinang di Mahkamah Persekutuan dan kerajaan Selangor di Mahkamah Rayuan dan keputusan bagi kedua-dua kes ini adalah esok.

Selain itu, Bersih juga turut menfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lalu bagi mencabar laporan persempadanan semula SPR.

Manakala Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishakaran mendakwa wakil rakyat BN telah mencuri pilihan raya menerusi laporan pesempadanan semula.

“Agak mengejutkan apabila semasa perbahasan berjalan, tiga wakil rakyat BN berada dalam DUN dan seorang lagi semasa diakhir kesemua mereka senyap dan langsung tidak membuat bantahan.

“Malah ketika undian dijalankan mereka langsung tidak bersuara, sama ada setuju atau tidak. “Shame on them’ mereka telah mencuri pilihan raya dan ia amat jelas.” 

Sidang DUN Selangor penggal keenam berakhir hari ini dan ia merupakan sidang terakhir sebelum kerajaan negeri dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). – 28 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • nak buat bantahan sila buat dgn cara yg betul & berhemah..jgn lakukan himpunan jalanan yg boleh mengganggu gugat kesejahteraan negara..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan