Anwar beri jaminan akan selesaikan rungutan MIC


Kalidevi Mogan Kumarappa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri majlis pertemuan dengan pimpinan MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Ogos 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim meminta pemimpin MIC memberi kepercayaan kepadanya untuk menyelesaikan rungutan parti itu yang meminta perwakilan dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, beliau akan merundingkan perkara itu dengan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Saya mesti ulang, kamu telah tunjuk keyakinan dan rasa hormat kepada saya, dan saya amat menghargainya.

“Menjadi tanggungjawab saya sepenuhnya untuk membalas dan menghormati etnik India termasuk MIC yang mewakili mereka.

“Sebagaimana saya percaya (Presiden MIC) Vigneswaran, kamu perlu percaya kepada saya,” katanya pada majlis pertemuan dengan pimpinan MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Anwar, MIC bersama komponen lain dalam BN sudah membuat keputusan yang kritikal menyokong kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya sejujurnya mengharapkan agar pencapaian kita dalam tempoh lapan bulan lepas, membuktikan kita sedang melalui laluan baharu, satu anjakan dari polisi lalu yang hanya menimbulkan perpecahan dan sarat dengan naratif politik,” katanya.

Pertemuan hari ini diadakan selepas MIC merungut tidak puas hati dengan rundingan agihan kerusi untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Anwar mengakui memahami rungutan MIC yang mendakwa dianak tiri dalam BNl, terutamanya selepas PRU15 dan terbaru dalam rundingan agihan kerusi untuk enam PRN.

Beliau juga memberi jaminan akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi kaum India, khususnya berkenaan kemiskinan tegar dan pendidikan.

Jelas Anwar, soal kemiskinan tegar melampaui kepentingan politik yang perlu diketepikan sementara.

“Saya ingin memberi jaminan kepada anda (pimpinan dan akar umbi MIC), ini bukan kenyataan politik semata-mata. 

“Kita mungkin mempunyai pendapat yang berbeza, tapi jangan persoalkan bahawa saya ingin berkhidmat kepada negara, ingin memastikan setiap penduduk ada tempat di negara ini, dan bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

MIC sebelum ini memutuskan untuk tidak mencalonkan mana-mana ahlinya dalam PRN.

Semalam, Zahid menafikan dakwaan ada suasana tidak harmoni antara komponen parti dalam BN sehingga memaksa perdana menteri campur tangan. – 2 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen