Kabinet lulus cadangan bangun semula KL Sentral


Projek pembangunan semula KL Sentral yang dianggarkan menelan kos RM1 bilion itu akan ditanggung sepenuhnya Malaysian Resources Corporation Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos 2023.

KABINET meluluskan cadangan untuk membangunkan semula Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) bagi menampung peningkatan jumlah penumpang dan aliran trafik di hab pengangkutan itu.

Projek pembangunan semula yang dianggarkan menelan kos RM1 bilion itu akan ditanggung sepenuhnya Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang juga pemaju keseluruhan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Projek ini adalah projek penswastaan iaitu tidak membabitkan implikasi kos kewangan kepada kerajaan. Pembangunan semula stesen itu yang dianggarkan melebihi kos RM1 bilion akan ditanggung oleh pihak MRCB.

“Tetapi secara pulangannya mereka diberikan hak untuk membangunkan kawasan di atas stesen tersebut iaitu mereka boleh membina bangunan komersial atau kondominium dan sebagainya.

“KL Sentral merupakan hab pengangkutan yang paling penting dalam negara kita terutamanya di ibu kota kerana ia stesen utama bagi perkhidmatan kereta api KLIA Express, Transit Aliran Ringan (LRT) dan KTMB iaitu bukan sahaja perkhidmatan komuter tetapi juga ETS,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.

Loke berkata bangunan KL Sentral asalnya direka untuk menampung 100,000 penumpang sehari namun kini mencecah 200,000 penumpang sehari.

Pada 1994, kerajaan menganugerahkan kontrak kepada MRCB untuk membina sebuah hab transit moden di atas tanah Marshalling Yard KTMB yang lama seluas 72 ekar.

Stesen KL Sentral mula dibuka kepada orang ramai pada 16 April 2001, menggantikan fungsi Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang lama.

Ia terletak di barat daya Kuala Lumpur, bersempadan dengan Jalan Travers, Jalan Damansara dan Jalan Tun Sambanthan.

Infrastruktur KL Sentral menyokong enam rangkaian rel, iaitu Rail Link KLIA Ekspres, KLIA Transit, RAPID KL (Putra), KTM Komuter, KTM Intercity dan Perkhidmatan KL Monorel.

KL Sentral turut meliputi menara pejabat korporat, hotel antarabangsa, kondominium mewah, pusat membeli-belah dan pangsapuri perkhidmatan. – 2 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen