KLIP video tular ucapan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diolah untuk kepentingan politik kini diklasifikasikan sebagai kes babitkan perkauman, agama dan institusi diraja (3R), kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Razarudin berkata polis mengambil keterangan daripada seorang wanita berusia 40-an semalam berhubung video itu, yang menunjukkan Sultan Perak menyokong PAS.
“Tiada tangkapan setakat ini dan polis telah merekod keterangannya.
“Sama ada dia akan dipanggil semula, itu bergantung siasatan. Ini ialah kes 3R kerana mewujudkan sentimen raja,” kata Razarudin dipetik Sinar Harian.
KPN berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Akta Hasutan 1948.
Semalam, Razarudin mengesahkan 24 laporan diterima mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Sebelum itu, pihak Istana Perak turut mengesahkan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Jurucakap istana, Zahidi Zainuddin berkata video itu termasuk petikan ucapan pada 2013 oleh pemangku raja Perak ketika itu disunting dipercayai dibuat dan dimuat naik untuk mempengaruhi pengundi menyokong PAS pada enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.
Zahidi berkata ucapan sebenar baginda menjelaskan sejarah PAS dan Umno dan mengingatkan kedua-dua parti supaya mencari persefahaman dan kerjasama walaupun pendekatan politik mereka berbeza.
Sebelum ini, media melaporkan wanita yang cuba mengetengahkan video itu adalah ketua Muslimat PAS Melaka, dan dipercayai menyunting klip daripada video yang sebelum ini disiarkan di laman Facebook “Dewan Muslimat PAS Melaka” pada 11 November lalu. – 2 Ogos, 2023.
Komen