Warga Kenya mati dalam tahanan polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG tahanan warga Kenya meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan Beluru, Marudi, Sarawak, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Azri Ahmad berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi, orang kena tahan (OKT) mengadu sakit dada dan sukar bernafas.

“OKT segera dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media.

Bagaimanapun, beliau berkata OKT disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan klinik pada jam 10.30 malam di klinik kesihatan.

Menurut Azri, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat esok.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu. – 2 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen