Tawaran gabungan Pakatan-BN realistik, kata pengundi


Penduduk di Selangor menyifatkan tawaran yang dilancarkan gabungan Pakatan Harapan dan BN disifatkan realisitik, mencakupi setiap segmen masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2023.

TAWARAN Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun yang dilancarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disifatkan realisitik, mencakupi setiap segmen masyarakat dan boleh dilaksanakan jika gabungan itu dipilih semula membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Penduduk negeri ini yang ditemui menyifatkan 53 tawaran yang terkandung dalam manifesto itu adalah berpaksikan rakyat, malah cukup berpuas hati dengan perincian serta platform yang digariskan PH-BN bagi memastikan warga Selangor dapat dibantu sebaiknya.

Pekerja swasta, Baharudin Suarnur, 48, berkata keluh-kesah orang Islam terhadap kos menunaikan haji didengari pimpinan PH-BN apabila gabungan itu memasukkan tawaran menyediakan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama.

Beliau berkata tawaran itu adalah satu langkah tepat dan jika benar-benar dilaksanakan, inisiatif tersebut pastinya memberi manfaat kepada orang Islam, khususnya mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

“Saya juga tertarik dengan tawaran kenaikan berperingkat elaun imam, bilal, siak dan nazir, satu hal yang menunjukkan usaha gabungan ini mengangkat syiar Islam dan pada masa sama tidak meminggirkan peruntukan kepada komuniti bukan Islam,” katanya kepada Bernama.

Bagi petani, Roslan Saleh, 56, tawaran berkaitan pemberian insentif pertanian sebanyak RM1,000 kepada petani dan pesawah membuktikan gabungan itu cakna dengan nasib golongan berkenaan di Selangor.

“Semua sedia maklum, kenaikan harga input (racun dan baja) ada yang sehingga 100 peratus dan ia cukup membebankan petani seperti kami. Oleh itu, kami menyambut baik tawaran ini, kalau betul-betul direalisasi, Alhamdulillah,” katanya yang menetap di Tanjung Karang.

Sementara itu, Muhammad Iman Mohd Ahib, 22, dari Kampung Rantau Panjang, Klang berkata tawaran bagi Bantuan Mahasiswa Kita Selangor berjumlah RM1,500 kepada setiap mahasiswa sudah semestinya akan memudahkan mereka membeli kelengkapan pengajian dan keperluan lain.

Muhammad Iman yang sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana muda di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata bantuan yang ditawarkan kerajaan negeri itu seakan memahami keadaan mahasiswa yang memerlukan kewangan tambahan dan secara tidak langsung mengurangkan bebanan ibu bapa.

Peniaga, Siti Aishah Amran, 30, pula menyifatkan pelanjutan program perumahan mampu milik atau Kediaman Kita Selangor memberi peluang kepada anak muda untuk membeli rumah lebih awal.

“Saya sangat setuju jika program rumah mampu milik sebelum ini (kerajaan Selangor) diteruskan kerana mereka yang tidak mempunyai pendapatan tinggi boleh mencuba (membeli rumah),” katanya yang merupakan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang.

Lima teras yang ditawarkan gabungan PH-BN adalah Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi;  Agama Sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruah di Selangor; Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap dan Efisien; Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni dan Selangor Negeri Penyayang Yang Membela Kepentingan Rakyat. – Bernama, 2 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen