Pengeluaran padi 5 musim mampu angkat martabat ekonomi pesawah


INISIATIF kerajaan memperkenalkan pengeluaran padi lima musim dalam tempoh dua tahun bukan hanya merangsang produktiviti padi dan beras negara, sebaliknya pada masa yang sama dapat mengangkat martabat ekonomi pesawah di negara ini.

Pesawah di Kampung Mengkung Layar Nordin Deris, 67, berkata inisiatif yang diambil oleh kerajaan itu, merupakan satu usaha yang baik dan dapat membantu pesawah, menjana pendapatan lebih berbanding sebelum ini.

“Beberapa perkara lain perlu diambil kira terlebih dahulu, antaranya ialah kesediaan komunti pesawah bagi menyahut seruan kerajaan itu.

“Di sini (Perlis) kita sudah biasa hanya tanam padi dua kali setahun, pesawah perlu dapat penerangan dan bantuan input pertanian yang sewajarnya, agar lebih bersedia untuk membuat penanaman padi di luar musim,” katanya yang mengusahakan 0.5 hektar sawah di Arau.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan inisiatif “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat”, antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan ialah menambah baik infrastruktur pengairan kawasan Mada di Kedah dan Perlis.

Usaha itu bertujuan meningkatkan produktiviti pengeluaran padi kepada lima musim dalam tempoh dua tahun melibatkan prasarana bernilai RM3 bilion.

Turut senada pesawah dari Sanglang Ghazali Hamid, 70, berkata beliau amat bersetuju dengan cadangan baik tersebut, namun berpandangan pihak berkaitan termasuk Mada perlu melakukan beberapa perkara bagi menjayakannya.

“Saya sambut baik cadangan penanaman padi lima kali dua tahun, namun Mada perlu dapat menyediakan air yang cukup untuk pesawah. 

“Kawasan sawah di luar perairan Mada juga, memerlukan jaminan air yang mencukupi bagi pengairan air ke sawah,” katanya yang mengusahakan kawasan sawah seluas 11.5 hektar.

Ghazali berkata selain itu masalah lain yang perlu diambil kira ialah kesepakatan dan kerjasama semua pesawah,  bagi mengelak sebarang konflik yang hanya merugikan pesawah lain.

Beliau berkata kebiasaan mengikut sistem tanaman padi dua kali setahun, terdapat tempoh rehat beberapa bulan sebelum masuk musim kedua.

“Pada masa itu secara tradisi pesawah padi di Perlis akan membakar jerami untuk kembalikan kesuburan tanah, jika sistem padi lima tahun dua kali dibuat, saya rasa pesawah perlu mendapat bantuan teknikal dari agensi berkaitan agar hasil padi tidak merosot,” katanya.

Seorang pengilang padi di Perlis Ezreen Muhaizie Marzukhi berkata komitmen yang ditunjukkan kerajaan, merupakan satu usaha yang positif dalam meningkatkan hasil padi negara, dan pada yang sama dapat membantu menaik taraf ekonomi pesawah, yang rata-rata terdiri daripada golongan B40.

“Dari sudut pengilang padi, ini satu usaha positif, kerajaan berpandangan jauh dalam usaha meningkatan hasil padi dalam negara, bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa akan datang,” katanya yang juga pengarah eksekutif Dibuk Sdn Bhd, antara pengusaha kilang padi terbesar di Perlis.

Ezreen berkata pihak kilang, bersedia untuk menerima padi di luar musim sekiranya terdapat jumlah tuaian minima yang cukup untuk kilang memproses.

“Bagi saya secara peribadi, usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini akhirnya akan mendatangkan manfaat kepada pesawah, kerana mereka merupakan ‘tulang belakang’ kepada industri ini,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) Prof Dr Ahmad Ismail berkata Malaysia, mempunyai keupayaan untuk menghasilkan beras yang mencukupi untuk keperluan negara.

“Malaysia sekarang berkapasiti 65% dan perlu tingkatkan pengeluaran beras negara, cadangan kerajaan untuk memperkenalkan pengeluaran padi lima kali dalam tempoh dua tahun tepat pada masanya, dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import,” katanya.

Beliau berkata penggunaan teknologi sesuai, dapat menarik minat golongan muda untuk “turun ke bendang”, apabila tanaman padi dapat dijadikan sebagai sebuah industri yang menguntungkan dan menjamin kerjaya.

Ahmad berkata universiti, institusi penyelidikan padi dan Jabatan Pertanian, mesti bersama mendekati petani agar generasi muda mendapat dapat mengguna kaedah baharu, sebagai pesawah moden.

“Teknologi, kecerdasan buatan (AI), pengetahuan dan kemahiran petani, penting dalam memastikan keadaan yang seimbang dari segi pengeluaran padi, ekonomi dan kesejahteraan petani, serta dalam masa yang sama alam sekitar yang tidak tercemar,” katanya. – Bernama, 2 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen