MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kini disiasat susulan kenyataan dibuatnya di sebuah masjid di Rawang pada Ahad.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata menteri itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kami sudah dapat rakaman ucapan yang dibuat di masjid berkenaan dan akan melakukan pemeriksaan sebagai sebahagian daripada siasatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Menteri.
Pada Ahad, gambar Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai bercakap kepada sekumpulan kecil orang ramai di dalam dewan solat di masjid di Kuang, Selangor dimuat naik ke Facebook.
Fahmi berkata beliau ke masjid itu untuk menunaikan solat Zohor, menambah masjid itu berhampiran lokasi program dihadirinya.
Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga melancarkan siasatan mengikut enakmen jenayah syariah Selangor kerana didakwa menghina pihak berkuasa agama selepas aduan diterima berkenaan ucapan Fahmi.
Pada 22 Julai, jabatan agama Islam mengarahkan masjid dan surau melarang aktiviti politik diadakan di kawasan mereka.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Jais Shahzihan Ahmad berkata pentadbir masjid di Rawang itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Dilaporkan Fahmi sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman fitnah terhadap mereka
“Ucapan saya bukan tentang isu politik atau apa-apa berkaitan pilihan raya negeri kerana saya dijemput untuk bercakap tentang pengharaman kumpulan The 1975 dan pembatalan Good Vibes Festival,” katanya. – 1 Ogos, 2023.
Komen