Peguam Negara belum putuskan representasi kes jenayah Zahid


Ahmad Zahid, 70, berdepan lapan kes rasuah, 12 pertuduhan pecah amanah, dan 27 kes pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2023

PEJABAT Peguam Negara belum memutuskan lagi representasi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah permohonan Ahmad Zahid masih disemak oleh sepasukan pendakwa raya di Pejabat Peguam Negara.

“Tidak ada lagi keputusan dalam proses siasatan itu,” katanya seperti lapor media di mahkamah hari ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian meneruskan perbicaraan dengan pihak pendakwaan menyoal balas saksi pembelaan keenam Mohd Kamal Abdullah, yang juga bekas pegawai tugas-tugas khas kepada Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 70, berdepan lapan kes rasuah, 12 pertuduhan pecah amanah, dan 27 kes pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi semasa beliau jadi menteri dalam negeri.

Pada 10 April peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh memberitahu mahkamah pihaknya menghantar representasi baharu berhubung pertuduhan itu kepada Pejabat Peguam Negara pada Februari lepas.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga ke hari ini untuk membolehkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan. – 1 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen