Permuafakatan tak serasi Pakatan-BN


Mohd Azizi Jaeh

Persengketaan Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan merupakan pengkisahan panjang yang cukup membekas bagi kedua-dua belah pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai 2023.

SUDAH masuk lapan bulan permuafakatan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mendirikan kerajaan campuran. Pada awal, banyak yang menolaknya – mungkin terbit dari tanggapan dan kenyataan bahawa DAP adalah musuh sejati Umno.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hubungan PH-BN bertukar daripada lawan menjadi kawan khasnya dalam menghadapi tentangan daripada Perikatan Nasional (PN). Pilihan raya negeri (PRN) adalah ujian dan eksperimen politik kedua blok kuasa melebarkan pengaruh dan sokongan.

Selesai proses penamaan calon di enam negeri kelmarin menandakan pelancaran perang antara dua gabungan secara rasmi. Selain ingin meluaskan pengaruh, perkongsian kuasa PH-BN untuk menguji keserasian dan kesepakatan mereka dapat diterima atau sebaliknya oleh ahli parti, rakan pakatan dan pengundi khususnya.

Setiap pakatan memiliki sejarah, tradisi dan ideologi perjuangannya tersendiri. Mereka mengalami proses evolusi serta bertukar keanggotaan parti dalam gabungan yang terbentuk.

Umpamanya kelahiran PH sering dilatari dengan proses pembikinan, pemusnahan dan pembinaan semula – daripada gabungan Barisan Alternatif (BA) berganti kepada Pakatan Rakyat (PR) dan kemudiannya menubuhkan pula PH.  

Manakala BN yang didirikan pada 1973 berasaskan kesinambungan pendahulu sebelumnya iaitu Perikatan. Umno-MCA-MIC adalah parti utama kepada blok BN yang kekal sehingga sekarang, malah Umno meletakkan dirinya sebagai pengemudi bagi memelihara kelangsungan gabungan.

Hakikatnya, persengketaan BN dengan PH merupakan pengkisahan panjang yang cukup membekas bagi kedua-dua belah pihak. Apatah lagi untuk berbincang semeja sebagai rakan kongsi dalam membahagikan kuasa bukan satu perkara yang mudah – suatu di luar kebiasaan yang dianggap menyimpang dalam konteks sejarah dan norma politik Malaysia.

Secara peribadi, berkongsi kuasa dengan sekutu berbeza (berbeza kepentingan) adalah satu beban, kalau bukan malapetaka.

Perlu diingatkan, pembentukan kerjasama BN dan PH bertujuan untuk menubuhkan sebuah kerajaan selepas tidak ada satu parti atau gabungan menjadi pemenang mutlak. Kedua-dua gabungan tidak mewujudkan koalisi baru, mereka tetap mengekalkan identifikasi dan pembawaan ideologi masing-masing.

Situasi politik yang mencabar kini memaksa PH-BN mengadakan ikatan berkepentingan. Justeru persahabatan yang terbina dalam keaadaan yang tidak benar-benar serasi. Pihak yang skeptikal menyatakan permuafakatan PH-BN adalah kahwin untuk kepentingan.

Dinamika politik Malaysia beberapa tahun kebelakangan adalah kerajaan yang terbentuk terdiri daripada pelbagai gabungan. Berbanding era hegemoni BN hanya satu gabungan berkuasa penuh – senang diuruskan kerana hanya mengandungi seorang ketua yang memimpin satu gabungan tunggal – misalnya pengerusi BN.  

Oleh yang demikian, kecederungan berlakunya ketidaksefahaman para elit antara pelbagai parti untuk tidak mengekalkan kerjasama amat tinggi. Kegagalan bertolak ansur dan mengadakan kompromi boleh menghasilkan perpecahan dan penarikan diri antara gabungan yang telah membentuk kerajaan.

Bukan setakat mencetuskan hubungan dingin antara dua gabungan berbeza, bahkan hubungan keanggotaan dalam parti komponen yang sama boleh bergolak. Umpamanya MCA dan MIC pertama kalinya tidak bertanding dalam pilihan raya kerana dikatakan terpinggir dalam agihan kerusi bersama kerajaan campuran. Lagi pula, terdapat dakwaan yang Umno lebih cenderung kepada sekutu baharunya DAP.

Dalam konteks PRN yang akan diadakan 12 Ogos ini, tentu saja ada rintangan yang menggugat dan membelah bahagi kesepakatan kedua pakatan ini.

Siapa mendapat apa, siapa yang untung, siapa yang rugi dan siapa yang harus mendapat timbal balas sewajarnya jika itu ini diberikan. Urusan pembahagian kerusi di 245 kerusi DUN (di enam negeri) telah sedikit sebanyak memanaskan suhu kolaborasi PH-BN.

Setidak-tidaknya dalam menguruskan konflik dengan berkesan – masalah dalaman dapat ditutup. Naratif yang harus ditunjukkan kepada pengundi adalah pembuatan keputusan secara konsensus dan diplomasi antara dua pakatan. Paling mustahak, kedua-dua pakatan perlu bijak membaca situasi dan mencari justifikasi kukuh.

Tambahan pula, perbezaan ideologi bukan lagi perkara pokok. Dalam sejarah politik antarabangsa, Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union (SU) pernah membentuk pakatan sementara bagi menghancurkan Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

Mungkin agak keterlaluan untuk menggunakan analisis sejarah hubungan AS-SU dalam menerangkan pakatan kerjasama PH-BN, namun dalam beberapa aspek dan ciri mungkin ada persamaannya.

Persamaannya adalah kepentingan kuasa akan mengatasi pegangan ideologi. Lagi pula, PH dan BN berkongsi matlamat dan musuh yang sama untuk mengalahkan PN.

Persamaan ideologi tidak memberi jaminan kepada sesebuah kerjasama itu bertahan. Lihat sahaja kesepakatan Umno-Bersatu akhirnya berpecah meskipun mempunyai ciri-ciri sepunya iaitu ideologi.

Perkara yang besar dalam percaturan politik adalah mengenggam kekuasaan, bukan ideologi yang mengikat. Zaman ideologi telah pun berakhir. Matlamat utama politik permuafakatan ialah kuasa, cara penggunaannya dan bagaimana menambahkannya. Politik itu realis.

Namun soal tafsiran ideologi yang sempit tetap akan dibangkitkan. Kerjasama PH dengan Umno/BN dikira akan menghakis dan meninggalkan agenda reformasi. Umno pula dianggap mengorbankan keindukan mereka sebagai parti perjuangan Melayu bilamana berpakat dengan DAP/PH.

Dalam merasionalkan perkongsian tidak serasi dua pakatan ini, mungkin pemain politik di kalangan mereka akan menggunakan ungkapan popular ahli falsafah Voltaire – perlu lakukan sedikit kejahatan untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar.

Dalam tempoh membentuk keserasian dan penyesuaian diri ketika ini, ungkapan yang paling mudah dalam konteks politik Malaysia adalah biar kita tak sama, tapi kita boleh bekerjasama, biar kita tidak setuju, tapi kita boleh bersatu.

Namun harus diingatkan kesepakatan ini akan berdepan jalan bersimpang siur dan berselirat jika keputusan PRN tidak memihak kepada mereka. – 31 Julai 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen