PAS larang ahli keluar kenyataan risikokan parti


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata sebarang kenyataan lebih-lebih lagi yang membawa risiko sokongan kepada PAS dan Perikatan Nasional perlu dihentikan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai 2023.

PAS melarang semua ahlinya membuat sebarang kenyataan umum berkaitan urusan dalaman parti dalam apa sahaja bentuk sama ada melalui media, video mahupun audio.

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata larangan itu juga termasuklah membuat kenyataan yang berhubung kait dengan hal-hal yang berkaitan calon pilihan raya negeri yang akan diadakan 12 Ogos ini.

“Dalam hal ini setiap ahli perlu ingat bahawa proses pemilihan calon mewakili PAS bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dibuat mengikut ketetapan dan peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan PAS, bukannya atas desakan, tekanan atau pengaruh mana-mana pihak.

“Ia perlu melalui banyak peringkat merangkumi Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jabatan Pilihan Raya PAS dengan mengambil kira pandangan organisasi PAS di semua peringkat,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan malam tadi.

Justeru tambahnya, sebarang kenyataan lebih-lebih lagi yang membawa risiko sokongan kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) perlu dihentikan segera. 

“Sebarang persoalan mahupun pertikaian hal-hal dalaman parti sekiranya wujud perlu dibawa dan diselesaikan mengikut saluran parti.”

Kenyataan ahli Parlimen Kota Bhari itu dipercayai merujuk kepada isu pertikaian calon PAS di DUN Chempaka, Kelantan dan DUN Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kelmarin, adik kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah adalah punca Nik Mohamad Abduh Nik Mat tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Nik Din dalam satu rakaman video mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri menghantar surat meminta PAS Kelantan menyenaraikan nama Nik Mohamad Abduh, sebelum ditolak oleh Mohd Amar. Beliau seterusnya menyeru supaya pengundi di Kelantan tidak memberi undi kepada Mohd Amar yang juga calon DUN Panchor.

Mohd Amar menafikan tuduhan tersebut.

Sementara di Bayan Lepas pula, keputusan Perikatan Nasional (PN) menamakan Presiden Gerakan Dominic Lau sebagai calon di kerusi majoriti Melayu itu mendapat bantahan PAS Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu semalam dilaporkan berkata keadaan dilihat mula reda sejak sesi penamaan calon pada Sabtu.  – 31 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen