Angka kematian letupan stor bunga api di Thailand meningkat kepada 10


Lebih 100 orang cedera dalam sebuah letupan di sebuah stor simpanan bunga api dan mercun di selatan Thailand selain ratusan rumah juga rosak teruk. – Gambar Facebook,  31 Julai, 2023.

ANGKA kematian akibat letupan di sebuah stor simpanan bunga api dan mercun di selatan Thailand meningkat kepada 10 orang semalam, kata gabenor tempatan semalam.

Letupan petang Sabtu di pekan Sungai Kolok itu dipercayai berpunca daripada kerja kimpalan semasa kerja pembinaan bangunan itu.

Lebih 100 orang cedera dalam letupan itu selain ratusan rumah juga rosak teruk.

“Kami mengenal pasti 10 orang dan dua mayat tidak dapat dikenal pasti,” kata Gabenor Narathiwat Sanan Pongaksorn semalam.

“Kami menghantar kepada forensik untuk melakukan ujian DNA,” tambahnya.

Sanan sebelum ini berkata letupan itu dipercayai berpunca daripada kesilapan teknikal semasa kerja pengimpalan dibuat..

Polis semalam berkata mereka masih menyiasat punca dan percaya kemudahan itu tidak berlesen untuk menyimpan bunga api.

Komander wilayah Polis Mejar Jeneral Chalermporn Khamkhiew berkata mercun dihantar sejurus sebelum letupan.

“Kita sedang menyiasat sama ada mercun itu dibawa secara sah atau tidak sah.

“Setakat ini kita tidak nampak sebarang lesen pemilikan atau penjualan mercun.

“Kami menganggap kilang itu tidak mempunyai lesen,” katanya. – AFP,  31 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen