Masyarakat perlu kawal sentimen 3R semasa kempen, kata timbalan menteri


Teo Nie Ching berkata rakyat memainkan peranan penting untuk melaporkan sebarang kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2023.

MASYARAKAT perlu memainkan peranan dalam membantu mengawal penyebaran ucapan berbaur kebencian serta naratif 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja khususnya di platform media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata jika terdapat hantaran atau kandungan yang mengandungi elemen berkenaan, masyarakat perlu melaporkannya kepada penyedia platform terbabit supaya ia tidak tersebar secara meluas.

“Rakyat memainkan peranan penting. Semua platform media sosial memang ada butang (lapor), jadi kalau mereka rasa ada ucapan atau kandungan membabitkan 3R, saya gesa rakyat melaporkan hantaran itu kepada penyedia platform supaya mereka boleh ambil tindakan sewajarnya,” kata beliau.

Teo berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ceramah mega Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang di pekarangan bilik gerakan Pakatan Harapan DUN berkenaan di Seremban hari ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata, polis tidak akan berkompromi berkaitan isu 3R dan mana-mana pihak yang didapati terbabit akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Bernama, 30 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen