Kerja kimpalan punca letupan gudang bunga api di Narathiwat


Asap tebal dari runtuhan berikutan letupan kilang bunga api yang mengorbankan sekurang-kurangnya 9 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi di daerah Sungai Kolok, Narathiwat pada Sabtu. – Gambar Facebook Radio Thailand Sungai Kolok, 30 Julai, 2023.

PERCIKAN api daripada kerja kimpalan dipercayai punca kepada letupan kuat di sebuah gudang mercun dan piroteknik di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 117 yang lain.

Letupan pada jam 3.30 petang (waktu tempatan) di Mundok, Sungai Kolok memusnahkan lebih 200 rumah dan kedai, serta 15 kenderaan. Jumlah kerugian dianggarkan 100 juta baht.

Setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit dalam letupan itu.

Gabenor Narathiwat Sanan Pongaksorn berkata, sembilan terbunuh dalam kejadian itu termasuk seorang bayi berusia lapan bulan, kakaknya 4 tahun dan ibu mereka berusia 28 tahun.

Selain itu, beliau berkata seorang wanita warga Indonesia berusia 36 tahun adalah antara 117 yang cedera dalam kejadian itu.

“Siasatan awal menunjukkan percikan api daripada kerja kimpalan bagi memasang kabinet baharu di situ, dipercayai menyebabkan letupan.

“Lebih 365 keluarga terjejas akibat letupan itu. Kerajaan akan memberi pampasan kepada keluarga yang anggota keluarga mereka terkorban dalam kejadian itu dan mereka yang cedera,” katanya pada sidang media di Narathiwat hari ini.

Beliau berkata, tujuh daripada mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad pada malam Jumaat, manakala identiti dua lagi masih menunggu keputusan ujian DNA.

Sanan berkata 10 lagi mangsa yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di Hospital Sungai Kolok.

“Lebih 1,000 sukarelawan dan pegawai berada di lapangan membantu penduduk tempatan membersihkan serpihan akibat letupan itu,” katanya.

Gudang itu dilaporkan menyimpan sejumlah besar bahan letupan. Foto dan video menunjukkan letupan itu memusnahkan kawasan besar di sekeliling gudang.

Sementara itu, Panglima Wilayah Tentera Keempat, Santi Sakuntanark berkata pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.

“Kami akan memanggil pemilik gudang sebaik dia pulang dari luar negara,” katanya. – Bernama, 30 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen