DAP tidak benarkan pindaan Perlembagaan P.Pinang untuk tempoh jawatan KM


Chow juga memberitahu barisan exco baharu hanya akan dibentuk selepas memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini. – Gambar Facebook Chow Kon Yeow, 30 Julai, 2023.

DAP hari ini memberi jaminan tidak akan membenarkan pindaan semula terhadap Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut tidak bersetuju untuk meminda Perlembagaan negeri itu bagi membolehkan seseorang ketua menteri  memimpin negeri tanpa sebarang had tempoh.

“Saya tidak tahu siapa yang membuat cadangan ini tetapi semestinya DAP tidak akan membenarkan ini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Operasi Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai di Butterworth, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan wujud usaha untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi membolehkan bekas ketua menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal dilantik semula ke jawatan berkenaan.

Pada 2018, Persidangan DUN Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Ditanya mengenai dakwaan barisan exco bayangan kerajaan negeri sudah dimuktamadkan, Chow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang memberitahu ia hanya akan dibentuk selepas memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

“Kalau menang dan saya boleh angkat sumpah menjadi Ketua Menteri barulah boleh fikir mengenai barisan Exco kerana melibatkan semua parti yang menang, bukan hanya DAP,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DAP bertanding 19 kerusi DUN di Pulau Pinang dan menang kesemua kerusi berkenaan. – Bernama, 30 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen