Bekas pemain bola sepak hadapi tuduhan pecah rumah


SEORANG bekas pemain bola sepak Liga Super dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Pontian, Johor hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan pecah rumah dan menyimpan harta curi.

Mohd Azinee Taib, 33, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Beliau didakwa bersama dua rakan yang masih bebas memecah masuk rumah milik Neo Kong Yiew di Lorong 8, Taman Benut Utama dekat Pontian, bagi maksud mencuri pada jam 12.05 tengah hari, 8 Jun lalu.

Azinee turut didakwa bersama Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, dan Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, melakukan pecah rumah dengan niat mencuri harta benda milik See Chai Lian di Taman Cendana, Benut, kira-kira jam 1.15 tengah hari pada 3 Julai lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan dilakukan kali kedua atau yang kemudian, dikenakan denda atau sebat.

Khairul Akmal dan Muhammad Hairul Hafiz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Azinee juga didakwa atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit yang mempunyai kad sim milik See Chai Lian di Jeti Nelayan Ayer Baloi pada jam 4.30 petang, 3 Julai 2023.

Selain itu, Muhammad Hairul Hafiz dituduh menerima harta curi antaranya beg dompet jenama Fossil, dua keping tiket kapal terbang Vietnam Airlines atas nama Tree Ching Beng dan sejumlah wang kertas mata wang Korea Selatan.

Dia yang didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Jalan Batu Pahat-Sanglang dekat Ayer Baloi, pada jam 1.30 tengah hari hari sama, mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini menawarkan jaminan RM12,000 untuk setiap pertuduhan namun ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon ia dikurangkan kerana mereka menanggung keluarga.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mereka diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Ogos ini.

Awal bulan ini, polis menumpaskan ‘Geng Eddy’ dianggotai lima lelaki tempatan termasuk seorang bekas pemain bola sepak yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian Mohammad Shofee Tayib berkata dengan penangkapan semua suspek berusia 24 hingga 34 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah dengan kerugian dianggarkan mencecah RM350,000. – Bernama, 30 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen