SERAMAI 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 sudah mendaftar untuk mengulang peperiksaan itu tahun ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia satu komitmen kementeriannya yang melanjutkan tempoh pendaftaran SPM 2023 bagi calon persendirian hingga berjaya merekodkan pendaftaran 10,000 calon itu untuk mereka menduduki peperiksaan itu demi masa depan masing-masing.
“Semasa kita ambil keputusan untuk maklumkan keciciran atau ketidakhadiran pelajar SPM yang lalu, kita dapat mengumpulkan data seramai lebih kurang 30,000 orang.
“Komitmen kita adalah melakukan intervensi terhadap 30,000 ini ke mana mereka, kenapa tak hadir, alasan dan sebagainya, alhamdulillah, kita dapat kenal pasti, apabila kita buat program dan membuka lanjutan tempoh untuk mendaftar ulangan SPM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program YES! Rock The School edisi mega Kedah 2023 di Universiti Aimst dekat Sungai Petani hari ini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Pada 20 Jun lalu, media melaporkan 30,000 calon SPM 2022 yang tidak menghadiri peperiksaan itu menerima peluang kedua apabila Kementerian Pendidikan melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM 2023 bagi calon persendirian hingga 30 Jun.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan memandang serius terhadap laporan hampir 30,000 pelajar tidak menduduki SPM dan mengarahkan Fadhlina meneliti terperinci isu itu supaya ia tidak berulang pada masa depan.
Fadhlina berkata, pihaknya kini memberikan perhatian terhadap kira-kira 20,000 orang lagi yang tidak mendaftar untuk mengulang peperiksaan. – Bernama, 30 Julai, 2023.
Komen