Pakatan-BN fokus tarik pengundi atas pagar, kata Saifuddin


Penyokong PH dan BN juga perlu memastikan mereka memberi undi kepada calon kerjasama politik itu tanpa mengira parti politik, kata Saifuddin Nasution Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2023.

PAKATAN Harapan dan Barisan Nasional akan melaksanakan strategi untuk menarik pengundi atas pagar pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha agung PH itu juga berkata penyokong PH dan BN juga perlu memastikan mereka bersedia untuk memberikan undi kepada gabungan perpaduan tanpa mengira parti politik mereka.

“Ini untuk memastikan ada sokongan kukuh PH kepada calon BN dan sebaliknya,” kata Saifuddin yang juga menteri dalam negeri kepada wartawan di Kulim, Kedah, malam tadi.

Pada PRN kali ini, PH meletakkan 138 calon manakala BN pula meletakkan 108 calon.

Tambahnya lagi, PH tidak akan membazir sumber mereka di kawasan kubu kuat penyokong Perikatan Nasional (PN).

“Kita tak akan buang masa dalam 12 hari ini untuk cuba memujuk mereka. Tak ada guna.

“Lebih baik memenangi pengundi atas pagar dan pastikan undi beralih antara penyokong PH dan BN,” katanya.

PH dan BN juga akan bekerjasama memastikan wujud kelancaran antara jentera kempen mereka.

Jelasnya, PH dan BN juga mengambil pendekatan penciptaan kandungan di mana setiap calon akan mencipta kandungan mereka sendiri yang akan dikongsi kepada pusat operasi parti untuk disebarkan kepada pengundi.

“Lebih banyak kandungan mereka buat, lebih banyak kami boleh tolong mereka dengan berkongsi kandungan itu di media sosial untuk memenangni pengundi,” tambahnya. – 30 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen