MUHYIDDIN Yassin silap beri keutamaan semasa jadi perdana menteri, kata Anwar Ibrahim.
Presiden Bersatu itu kata perdana menteri, bukannya mahu utamakan rakyat tetapi lebih sibuk membaik pulih Seri Perdana ketika mengetuai kerajaan selepas pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tumbang ekoran percaturan politik pada Februari 2020.
“Semasa dia perdana menteri, keutamaan dia salah. Seri Perdana ini memang macam istana, tahu tak? Berapa (kos) dia perbaiki? RM38 juta.
“Sekarang diam, di mana ustaz-ustaz Pas, cuba beritahu saya antara orang tak cukup makan, orang tak ada kerja, OKU (orang kurang upaya), orang miskin, kamu pilih RM38 juta untuk buat rumah. Allahu Akbar… apa jenis manusia? Bercakap bukan main,” kata Anwar ketika berucap pada Ceramah Arus Merah Kuning di Subang Bestari malam tadi.
Pada September 2021, Abd Latiff Ahmad ketika itu menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dalam satu kenyataan berkata kos sebenar yang digunakan untuk mengubah suai Seri Perdana di Putrajaya ialah sebanyak RM38.5 juta.
Muhyiddin kemudian mengeluarkan kenyataan, menjelaskan kediaman rasmi perdana menteri itu akan rosak lebih teruk jika tidak dibaik pulih segera.
Jelasnya lagi, kerosakan itu membabitkan kebocoran, sistem pencahayaan yang sudah lama dan keadaan fizikal lantai serta bumbung yang sudah rosak atau usang.
Kerja membaik pulih perlu untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi ketua kerajaan dan imej negara kepada keadaannya yang asal, kata Muhyiddin. – 30 Julai 2023.
Komen