Kenya sedia ketuai pasukan multinasional di Haiti


Kenya bersedia untuk membantu membantu polis Haiti memulihkan situasi di negara bergolak itu. – Gambar EPA, 30 Julai 2023.

KENYA bersedia untuk mengetuai pasukan multinasional di Haiti dan akan mengerahkan 1,000 pegawai polis ke negara bergolak itu sebaik sahaja tawaran itu diterima, kata menteri luarnya.

Hampir 80% ibu kota Haiti dikuasai kumpulan penjenayah dan jenayah kekerasan seperti penculikan, rompakan bersenjata dan rampasan kereta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan Perdana Menteri Haiti Ariel Henry mengambil masa hampir setahun meminta campur tangan antarabangsa membantu polis, tetapi tiada negara yang tampil ke depan.

“Kenya telah menerima untuk mempertimbangkan secara positif untuk mengetuai pasukan multinasional ke Haiti,” kata Menteri Luar Kenya Alfred Mutua dalam satu kenyataan.

“Komitmen Kenya adalah untuk mengerahkan 1,000 pegawai polis bagi melatih dan membantu polis Haiti memulihkan situasi di negara itu,” katanya.

Cadangan itu bagaimanapun masih memerlukan mandat daripada Majlis Keselamatan PBB dan kelulusan daripada pihak berkuasa Haiti, tambah Mutua.

Kenya sebelum ini telah mengambil bahagian dalam operasi pengaman di wilayah terdekatnya termasuk di Republik Demokratik Congo dan Somalia. – AFP, 30 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen