CALON Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Pulau Pinang akan dikenali sebagai calon perpaduan, kata Chow Kon Yeow.
“Pada 1 Ogos, kami akan membentangkan manifesto perpaduan untuk Pulau Pinang dan secara rasminya memperkenalkan 40 calon perpaduan kami.
“Bagi menunjukkan komitmen setiawakan, kami akan memperkenalkan kesemua 40 sebagai calon perpaduan,” katanya pada sidang media hari ini.
Katanya lagi, manifesto itu adalah hasil usaha PH dan BN dan kedua-dua pihak akan bekerjasama sama melaksanakannya.
Chow menambah yang 19 calon DAP berjaya memfailkan kertas penamaan calon pagi tadi dan kebanyakan mereka berdepan pertandingan satu lawan satu.
Selain itu, terdapat empat pertandingan tiga penjuru dan tiga pertandingan empat penjuru.
Ketua menteri sementara itu juga berkata kempen DAP tidak akan terjejas dengan keputusan dua bekas ahli parti yang bertanding sebagai calon Bebas.
Parti juga tidak menerima sebarang maklumat boikot daripada penyokong atau penyandang kerusi yang tidak dinamakan sebagai calon kali ini.
“Cuma ada dua kawasan yang ahli parti bertanding sebagai Bebas tetapi tindakan ini tidak akan menimbulkan masalah sebab kita ada sumber dan jentera di semua peringkat untuk melancarkan kempen PRN ini,” katanya.
Penyandang kerusi DUN Bagan Dalam Satees Muniandy dan Ketua Cawangan DAP Autocity Kampung Jawa David Marshel mengumumkan keluar parti untuk bertanding di kerusi DUN Bagan Dalam dan Perai.
Chow akan mempertahankan kerusi DUN Padang Kota, beliau dicabar calon Perikatan Nasional H’ng Khoon Leng daripada Gerakan. – 29 Julai, 2023.
Komen