4 hilang, helikopter terhempas ketika latihan ketenteraan


Empat kru udara Tentera Australia dilaporkan hilang selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di perairan pantai timur laut negara itu. – Gambar AFP, 29 Julai, 2023.

EMPAT kru udara Tentera Australia dilaporkan hilang selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di perairan pantai timur laut negara ini ketika menjalani latihan ketenteraan utama, kata Menteri Pertahanan Richard Marles, hari ini.

Helikopter MRH-90 Taipan terjunam ke laut subtropika luar Pulau Hamilton, Queensland, ketika menyertai latihan ketenteraan Talisman Sabre.

“Setakat ini, empat kru udara berkenaan masih belum ditemui. Keluarga mereka sudah dimaklumkan mengenai insiden ini. Harapan dan ingatan kami kini terjurus kepada kru terbabit dan keluarga mereka.

“Kami sangat berharap untuk mendapat berita lebih baik pada hari ini,” katanya selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama hampir 12 jam dijalankan semalaman serta dijadualkan disambung semula pada hari ini.

Berikutan itu, pegawai pertahanan mengumumkan penangguhan sementara latihan ketenteraan besar-besaran berkenaan yang turut membabitkan pasukan dari Jepun, Perancis, Jerman serta Korea Selatan.

Latihan berkenaan sudah memasuki minggu kedua membabitkan pelaksanaan ujian logistik berskala besar, pertempuran darat, pendaratan amfibia dan operasi udara.

Australia sedang melakukan rombakan besar-besaran terhadap angkatan tenteranya, antara lain memberi tumpuan ke arah keupayaan melancarkan serangan jarak jauh. – AFP, 29 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen