Amirudin lawan tiga penjuru, Azmin satu lawan satu


Mohd Farhan Darwis

Penyandang kerusi DUN Sungai Tua Amirudin Shari berentap dalam pertandingan tiga penjuru pada PRN kali ini menentang calon PN Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal (Bebas). – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 29 Julai, 2023.

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua Amirudin Shari sah berentap dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menteri besar sementara dari PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) ditentang calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS Muhammad Hanif Jamaluddin.

Seorang lagi pencabarnya Suman Gopal bertanding atas tiket Bebas dengan menggunakan logo kunci.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi DUN Sungai Tua Nor Azlina Abdul Aziz mengesahkan ketiga-tiga calon sah bertanding selesai proses penamaan calon di SMK Sungai Pusu, Gombak.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Amirudin berjaya menewaskan tiga calon lain daripada BN, PAS serta Bebas di kerusi DUN itu dengan majoriti undi 17,446 undi.

Sementara itu di kerusi Hulu Kelang, bekas menteri besar Mohamed Azmin Ali sah bertanding menentang Juwairiya Zulkifli yang mewakili parti kerajaan.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Hulu Kelang Khairul Arzawati Khalid, di SMK Sungai Pusu, Gombak.

Azmin yang merupakan pengerusi PN Selangor berpindah ke kerusi itu selepas ditolak pengundi Bukit Antarabangsa.

Juwairiya yang merupakan setiausaha politik kepada menteri besar Selangor Amiruddin Shari juga berpindah dari kerusi DUN Bukit Melawati yang dimenanginya dalam PRU14.

Penyandang kerusi DUN Sungai Tua Amirudin Shari bertanding dalam pertandingan tiga penjuru pada PRN kali ini, sementara bekas menteri besar Mohamed Azmin Ali menentang Juwairiya Zulkifli di Hulu Kelang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 29 Julai, 2023.

Pengundian awal untuk PRN kali ini di jadualkan 8 Ogos manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Ogos.

Di kerusi Gombak Setia pula, penyandang Hilman Idham sah bertanding mentang calon BN Megat Zulkarnain Omardin dan calon Bebas Mohd Salim Mohd Ali.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Hasrul Hisham Abdullah mengesahkan pencalonan mereka pagi ini.

Hilman yang menang kerusi itu atas tiket PKR dalam PRU14 mengikut Azmin yang berpaling tadah ke Bersatu. – 29 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen