Korea Utara pamer dron dan misil baharu


Dron canggih dan peluru berpandu jarak jauh, termasuk ICBM Hwasong-17 dan Hwasong-18, dipamerkan semasa perarakan ketenteraan Hari Kemenangan malam tadi. – Gambar AFP, 28 Julai, 2023.

KOREA Utara mempamerkan dron dan peluru berpandu bslistik antara benua (ICBM) baharu semasa perarakan ketenteraan di Pyongyang yang dihadiri tetamu berpangkat tinggi dari Russia dan China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media tempatan.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan dron canggih dan peluru berpandu jarak jauh, termasuk ICBM Hwasong-17 dan Hwasong-18, dipamerkan semasa perarakan ketenteraan Hari Kemenangan pada malam Khamis.

27 Julai menandakan pemeteraian Perjanjian Persetujuan Gencatan Senjata Korea yang mengakhiri peperangan pada 1953, disambut di Pyongyang sebagai Hari Kemenangan.

Perjanjian gencatan senjata tersebut memisahkan Korea menjadi dua negara, manakala kira-kira dua hingga empat juta rakyat Korea terbunuh dalam peperangan antara 1950 dan 1953.

Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu, antara yang hadir menyaksikan perarakan dari pentas bersama pemerintah Korea Utara Kim Jong Un.

Kim juga menjemput Shoigu ke sebuah pameran senjata.

Kenyataan delegasi Russia yang dipimpin Shoigu turut mengambil bahagian dalam perarakan itu telah menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia tentang kerjasama ketenteraan yang meningkat antara Russia dan Korea Utara.

Shoigu dan Kim sebelum ini dilaporkan “bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan negara dan penilaian serta pandangan mengenai persekitaran keselamatan serantau dan antarabangsa,” menurut laporan penyiar Korea Utara, Voice of Korea. – Bernama, 28 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen