6 maut, 46 cedera dalam letupan dekat Damsyik, Syria


Menteri Kesihatan Syria Hassan Al-Ghabbash berkata, 20 daripada magsa letupan hanya cedera ringan dan dirawat di tempat kejadian manakala selebihnya dibawa ke hospital. – Gambar EPA, 28 Julai, 2023.

SATU letupan di pinggir selatan ibu negara Syria, Damsyik, membunuh enam orang dan mencederakan 46 yang lain hari ini, menurut media kerajaan.

Insiden itu berlaku di al-Sudan Street di pinggir bandar al-Sayeda Zainab di mana bahan letupan yang diletakkan pada motosikal berhampiran sebuah teksi diletupkan dari jauh, Xinhua memetik laporan TV Syria yang dikendalikan kerajaan.

Menteri Kesihatan Syria Hassan Al-Ghabbash berkata, 20 daripada mereka hanya cedera ringan dan dirawat di tempat kejadian manakala selebihnya dibawa ke hospital.

Tambahnya 11 ambulans bergegas ke al-Sayeda Zainab, kawasan yang didominasi oleh penganut Syiah berikutan letupan itu.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan bahan letupan itu meletup berhampiran sebuah pos tentera yang digunakan oleh pejuang yang disokong Iran.

Kejadian itu adalah letupan kedua di kawasan berkenaan dalam tempoh 48 jam selepas insiden pada Selas (25 Julai). – Bernama, 28 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen