2 pegawai penguatkuasa ditahan terima rasuah lebih RM100 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM menahan dua pegawai penguat kuasa yang bertugas di sebuah suruhanjaya tinggi negara asing di negara ini kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM100 juta sejak 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2023.

DUA pegawai penguat kuasa yang bertugas di sebuah suruhanjaya tinggi negara asing di negara ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM100 juta sejak 2021.

Sumber berkata pegawai penguat kuasa itu menerima rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia yang kononnya untuk tujuan melancong. 

“Hasil siasatan mendapati pegawai itu dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia dengan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.

“Selain itu siasatan juga mendapati pegawai itu dipercayai menerima bayaran sekitar RM1,363 (AS$300) ke RM2,272 (AS$500) bagi setiap kelulusan permohonan VLN melibatkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” kata sumber itu.

Menurut sumber mereka dipercayai dengan sengaja menyalahgunakan VLN membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.

“Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.

“Dua suspek itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika diminta hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

“Dua pegawai itu ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Susulan penahanan tersebut Majistret M Mageshwary membenarkan kedua-dua suspek direman empat hari bermula sehingga 31 Julai 2023 setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – 28 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen