8 pelombong terperangkap di Jawa Tengah


Pasukan penyelamat di wilayah Jawa Tengah guna pam mengeluarkan air untuk menyelamatkan lapan pelombong terperangkap sedalam 60 meter di lombong emas haram di pinggir Ajibarang. – Gambar Facebook, 28 Julai, 2023.

PASUKAN penyelamat di wilayah Jawa Tengah menggunakan pam bagi mengeluarkan air demi menyelamatkan sekurang-kurangnya lapan pelombong yang terperangkap sedalam 60 meter di lombong emas haram Pancurendang di pinggir Ajibarang, Banyumas sejak Rabu.

Pasukan penyelamat Indonesia menggunakan enam mesin pam untuk menurunkan paras air.

“Kami akan melakukan penilaian lanjut apabila pintu masuk air ditutup, dan takungan menjadi kering,” kata ketua pejabat mencari dan menyelamat Cilacap Adah Sudarsa dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Polis Banyumas Edy Suranta Sitepu berkata operasi melombong di kawasan itu adalah haram.

“Permohonan permit mereka masih belum diluluskan oleh Pejabat Tenaga dan Sumber Mineral Jawa Tengah sejak 2021,” katanya.

Tahun lalu, seorang pesara pegawai tinggi polis menekankan amalan perlombongan haram berlaku di hampir semua wilayah Indonesia seperti Sumatera, Kalimantan, Papua, Sulawesi, Jawa, Nusa Tenggara, dan Maluku.

Inspektor Jeneral Drs. Royke Lumowa berkata aktiviti perlombongan emas secara haram di Gunung Botak, di Buru, Maluku menyebabkan kerosakan alam sekitar, isu keselamatan dan masalah kesihatan dalam kalangan pelombong.

“Kesan perlombongan haram terhadap alam sekitar dapat dilihat daripada tahap pencemaran yang tinggi dan pencemaran merkuri dan sianida dalam pengairan pertanian di sekitar Gunung Botak,” katanya. – Bernama, 28 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen