Korban bot terbalik di Filipina cecah 26 orang


Orang ramai dan anggota penyelamat mengangkat mangsa bot terbalik yang berjaya ditemui. – Gambar Facebook, 28 Julai, 2023.

BILANGAN mereka yang maut dalam kejadian bot terbalik di tasik Filipina meningkat kepada 26 orang, kata pengawal pantai pada Jumaat, ketika operasi mencari diteruskan bagi mangsa yang hilang.

Bot kayu itu membawa kira-kira 70 orang dari sebuah pelabuhan di bandar Binangonan ke pulau Talim di tasik Laguna, dekat Manila, pada Khamis ketika kemalangan itu berlaku.

Angin kencang mencetuskan panik di kalangan penumpang yang bergerak ke satu sisi kapal dan menyebabkannya terbalik, kata pengawal pantai. Kapasiti maksimum bot ialah 42 orang.

Orang ramai yang berdiri di pantai menyaksikan dengan ngeri ketika penyelamat di dalam bot mencari mangsa di dalam air yang keruh.

Rakaman video operasi menyelamat dikongsi oleh pengawal pantai menunjukkan seorang lelaki berdiri di atas badan bot terbalik sambil menjerit “Ada ramai orang di sini”.

Seramai 40 orang terselamat.

Tiga mangsa masih hilang berdasarkan angka rasmi yang dikeluarkan pada Khamis.

Pengawal pantai dan polis sedang menyiasat punca kemalangan, yang berlaku beberapa jam selepas Taufan Doksuri melanda utara Filipina.

Jurucakap pengawal pantai Laksamana Muda Armando Balilo berkata Khamis kapal itu mendapat kebenaran untuk belayar.

Bot diarah berlabuh di Luzon dan kepulauan tengah awal minggu ini kerana amaran angin ribut ketika taufan memburukkan monsun barat daya.

Menjelang malam Khamis, penyelamat berjaya membawa bot ke tepi pantai.

Orang ramai mula memindahkan mangsa ke dalam keranda untuk membawanya ke upacara pengebumian.

Filipina, sebuah kepulauan yang mempunyai lebih 7,000 pulau, mempunyai rekod keselamatan maritim yang buruk, dengan ramai maut akibat insiden di laut setiap tahun yang biasanya melibatkan bot kayu kecil. – AFP, 28 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen