Sanusi diminta jelaskan isu bekalan elektrik projek Kedah Rubber City


Umno Kedah minta Muhammad Sanusi Md Nor jelaskan penjadualan terkini berhubung pembekalan elektrik ke projek Kedah Rubber City di Padang Sanai yang masih belum selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor diminta menjelaskan penjadualan terkini berhubung pembekalan elektrik yang masih tidak selesai untuk disalurkan ke projek Kedah Rubber City di Padang Sanai, dekat Kuala Nerang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Mahdzir Khalid mendakwa walaupun ada usaha-usaha yang dijalankan kerajaan negeri sebelum ini, namun sehingga kini ia masih tergendala sekali gus menimbulkan keresahan kepada para pelabur.

“Lebih elok kalau ada jadual negeri, penjadualan bila pengambilan tanah siap, bila garis masa dia, buatlah sedikit garis masa, masalahnya garis masa pun tiada dan sampai hari ini saya nampak belum pasti bila nak masuk elektrik itu. Inilah antara benda (perkara) yang menjadi kerisauan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Jentera Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan DUN Kuala Nerang  hari ini.

Mahdzir berkata bekalan elektrik di kawasan KRC perlu dihubungkan dari Tanjung Pauh, Jitra sejauh 42 kilometer kerana kawasan industri tersebut memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.

KRC dibangunkan di kawasan seluas 503 hektar merupakan projek taman perindustrian getah berstatus nasional pertama di Malaysia yang diusahakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama kerajaan Kedah. – Bernama, 27 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen