Sorotan barisan calon utama Perikatan


Mohd Farhan Darwis

PN turut mensasarkan 33 kawasan DUN yang memiliki majoriti pengundi Melayu sekitar 60% ke atas, dalam usaha mereka untuk mendapat majoriti mudah pada PRN kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2023.

IBARAT sirih pulang ke gagang, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Azmin Ali kembali bertanding di kerusi Hulu Kelang bagi pilihan raya negeri yang bakal berlangsung 12 Ogos.

Bekas ahli Parlimen Gombak itu antara nama besar tokoh mewakili PN, seperti diumumkan Pengerusinya Muhyiddin Yassin di Taman Medan, Petaling Jaya pada Rabu.

Dalam kenyataannya, Azmin berkata beliau kembali bertanding kerana mematuhi arahan pucuk pimpinan PN.

Ia sekali gus menamatkan hasratnya untuk berehat daripada arena politik dan memberi laluan kepada calon muda yang berpotensi dalam PN untuk bertanding.

Azmin menang di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999 dan berkhidmat sepenggal sebelum berpindah ke DUN Bukit Antarabangsa.

Beliau seterusnya mengekalkan Bukit Antarabangsa selama tiga penggal berturut-turut, sejak PRU12 pada 2008, atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Bekas menteri Kabinet itu akan bertembung bekas Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli daripada PKR di Hulu Kelang.

DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Amanah yang mewakili PH dalam PRU14.

Pengerusi PN Selangor Azmin Ali kembali bertanding di kerusi Hulu Kelang bagi pilihan raya negeri yang bakal berlangsung 12 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2023.

Rina Harun muncul semula

Ketua Wanita PN Rina Mohd Harun turut membuat kemunculan semula pada PRN kali ini selepas tersungkur pada PRU15 di Parlimen Sepang.

Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu diumumkan Muhyiddin sebagai calon PN di kerusi DUN Batu Tiga.

Beliau dijangka berdepan calon Amanah mewakili PH, Danial Al Rashid Haron dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen mewakili Muda.

Bekas gengster

Turut menarik perhatian pada malam tadi seorang bekas gengster yang dikenali sebagai Cik Ton.

Cik Ton yang nama sebenarnya Muhammad Fazil Mohd Dali yang mengumumkan sudah bertaubat daripada melakukan kegiatan haram.

Beliau merupakan pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT), sebuah pertubuhan yang menurutnya banyak melakukan aktiviti mirip gengsterisme sejak ditubuhkan pada 2013.

Pertubuhan itu bagaimanapun mula mendekati aktiviti berbentuk kemasyarakat dan keagamaan selepas penghijrahannya.

Cik Ton diberi tugas untuk merampas kerusi DUN Pandan Indah daripada PH, yang kini disandang Izham Hashim dari PKR.

Selebriti media sosial

PN turut menampilkan wakil golongan pencipta kandungan di media sosial – Jefri Mejan yang dinamakan sebagai calon untuk bertanding di Ijok.

Jefri, yang memiliki lebih 336,000 pengikut di Facebook dan TikTok, terkenal dengan kandungan memasak makanan tradisional menggunakan dapur kayu.

Ini pencalonan kedua Jefri di kerusi sama selepas tewas pertama kali pada PRU14, mewakili PAS.

Ketua Wanita PN Rina Mohd Harun turut membuat kemunculan semula pada PRN kali ini selepas tersungkur pada PRU15 di Parlimen Sepang dengan bertanding di Batu Tiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2023.

Bekas penjawat awam

Pesara pegawai tinggi kerajaan turut menjadi pilihan PN untuk diletakkan sebagai calon.

Parti itu mengumumkan bekas ketua setiausaha kementerian perdagangan dalam negeri Jamil Salleh sebagai calon di kerusi DUN Dengkil.

Jamil bersara wajib pada Januari 2019, selepas berkhidmat lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha di kementerian belia dan sukan pada 2013.

Jamil menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai belia dan sukan pada 22 Jun, 1983 sebelum dilantik sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 13 Januari, 1986.

Dengkil dimenangi Bersatu ketika menyertai PRU14 bersama PH dengan calonnya Adhif Syan Abdullah.

Penceramah

Seorang penceramah popular Mohd Zamri Mohd Zainuldin turut dicalonkan mewakili PN.

Beliau yang terkenal dengan nama Dr Zamri Mantop diberi tanggungjawab sekali lagi dalam kempen PN merampas kerusi Sungai Burong.

Yang dipertua PAS Tanjong Karang itu pernah menjadi calon PAS di kerusi Sungai Burong pada PRU14 lalu, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Shamsuddin Lias.

Pada PRN kali ini, Zamri bakal berhadapan calon BN Mohamad Khir Ramli.

Usaha kedua

Shasha Lyna Abdul Latiff diberi tugas mempertahankan Bukit Antarabangsa untuk PN. Beliau pertama kali muncul pada PRU15, bertanding di Parlimen Ampang, namun tewas.

Muka baharu

Antara muka baharu ditampilkan PN dalam usaha merampas Selangor daripada penguasaan PH adalah anak perempuan bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar.

Nurul Syazwani Noh dinamakan sebagai calon di Permatang, dan bakal berhadapan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Mohd Yahya Mat Sahri, yang mewakili PH.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dilapor berkata Yahya juga sudah bebas daripada sebarang halangan untuk bertanding pada PRN kali ini.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan bekas menteri besar Khalid Ibrahim menjalani hukuman penjara dan sebat selepas gagal dalam rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menipu pada 4 Mac, 2016.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dengan kemenangan di 29 kerusi membolehkan mana-mana gabungan yang bertanding membentuk majoriti mudah.

PN turut mensasarkan 33 kawasan DUN yang memiliki majoriti pengundi Melayu sekitar 60% ke atas, dalam usaha mereka untuk mendapat majoriti mudah.

Manakala PH dan BN kini bergabung menghadapi PRN sebagai satu pasukan, selepas membentuk kerjasama di peringkat Pusat.

BN diberi 12 kerusi untuk bertanding di DUN Selangor, dengan bakinya ditandingi PH.

Manakala Bersatu pula bertanding di 31 kerusi dengan 10 daripadanya merupakan calon sayap bersekutu, PAS 17 kerusi dan Gerakan lapan kerusi.

Proses penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 29 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 8 Ogos. Hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos.

Selain Selangor turut terlibat dalam PRN kali ini adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, yang dikuasai PN, dan Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH.

PRN di enam negeri itu akan melibatkan perbelanjaan RM420 juta itu dengan Selangor menjadi negeri yang mempunyai pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun paling ramai iaitu 274,194 orang.

Selangor juga menjadi negeri paling ramai mempunyai bilangan kumpulan pengundi berusia 90 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 8,638 orang. – 28 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen