KERANGKA ekonomi baharu yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyeluruh serta seimbang dalam meletakkan Malaysia pada landasan yang lebih baik untuk masa hadapan, dengan mengakui cabaran-cabaran penting yang perlu ditangani, kata Nor Mohamed Yakcop.
“Strategi-strategi berkaitan pembangunan industri, digitalisasi dan pelaburan dijangka akan merancakkan aktiviti ekonomi lantas memberi pulangan yang lebih baik kepada perniagaan dan gaji yang lebih tinggi kepada pekerja-pekerja di sektor swasta dan awam.
“Menyedari hakikat bahawa tumpuan kepada pembangunan ekonomi semata-mata boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan antara wilayah dan komuniti, polisi berkaitan perlindungan sosial dijangka mampu merapatkan jurang sedia ada.
“Penekanan kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perumahan secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” kata pengerusi Khazanah Research Institute itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tumpuan kepada aspek tatakelola merupakan kunci kepada kejayaan pelan Ekonomi Madani.
“Dengan kepimpinan politik dan sokongan rakyat, sasaran reformasi tatakelola dan sistem penyampaian perkhidmatan akan memperkukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur luar, sekaligus memulihkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.
“Ekonomi Madani yang menumpukan pemerkasaan rakyat dan pembangunan ekonomi mampan mencerminkan komitmen bersama ke arah Malaysia makmur,” kata Nor Mohamed yang juga bekas menteri kewangan.
Kenyataan itu dikeluarkan menyusuli pengumuman Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ oleh Anwar pagi tadi, yang bertujuan untuk mengangkat semula ekonomi Malaysia.
“Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” kata perdana menteri semasa mengumumkan inisiatif itu di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum tempoh 10 tahun, antaranya Malaysia berada di kedudukan 30 ekonomi terbesar di dunia.
Sasaran lain yang ditetapkan adalah Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60%, Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia, dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah. – 27 Julai 2023.
Komen