Datuk bandar Moscow derma pistol miliknya kepada askar Russia


Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin mendermakan pistol kepada seorang askar yang akan menyertai peperangan di Ukraine. – Gambar AFP, 27 Julai, 2023.

DATUK Bandar Moscow Sergei Sobyanin mencetuskan kekecohan apabila bertindak mendermakan pistol kepada seorang askar yang akan menyertai peperangan di Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam video yang disiarkan di Telegram, Sobyanin dilihat menyerahkan pistol itu kepada seorang lelaki berpakaian tentera di sebuah kemudahan merekrut askar di Moscow.

“Ini adalah senjata peribadi saya. Saya sudah tukarkan kepada nama anda. Semoga ia membawa kejayaan kepada anda,” kata lelaki berusia 65 tahun itu yang akan bertanding semula untuk pemilihan datuk bandar pada September nanti.

Media Russia menimbulkan persoalan dari mana Sobyanin memperoleh pistol itu. Pistol jenis MP-443 Grach itu turut dikenali sebagai pistol Yarygin.

Menurut laporan itu, undang-undang Russia tidak membenarkan menyumbang senjata api kepada tentera untuk mendapatkan keistimewaan merit.

Russia melancarkan perang di Ukraine selama lebih 17 bulan.

Sobyanin berkata seramai 10,000 penduduk Moscow secara sukarela komited untuk menyertai pertempuran.

Seramai 20,000 penduduk di Moscow, dikatakan dipanggil untuk berkhidmat. – Bernama, 27 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen