Hong Kong pelbagaikan pasaran, lebih kondusif kewangan Islam


Hong Kong mewujudkan platform yang kondusif untuk penerbitan sukuk, termasuk meminda undang-undang untuk menyediakan struktur cukai bagi sukuk setanding bon konvensional. – Gambar EPA, 27 Julai, 2023.

KETUA Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-Chiu, menyuarakan komitmennya untuk mempelbagaikan pasaran Hong Kong supaya lebih kondusif kepada kewangan Islam.

“Kami berusaha untuk meningkatkan kepelbagaian pasaran kewangan, termasuk dalam kewangan Islam.

“Sepanjang dekad lepas, kami mewujudkan platform yang kondusif untuk penerbitan sukuk, termasuk meminda undang-undang untuk menyediakan struktur cukai bagi sukuk yang setanding dengan bon konvensional.

“Selain sukuk yang diterbitkan di bawah Program Bon Kerajaan, produk dan perkhidmatan kewangan Islam kami termasuk sukuk yang diterbitkan oleh entiti asing dan disenarai di Bursa Saham Hong Kong, dana Islam dan jendela perbankan Islam,” katanya semasa pertemuan dengan komuniti perniagaan Indonesia di Jakarta.

Pemimpin Hong Kong yang kini dalam siri jelajah serantau selama seminggu, turut terlibat dalam perbincangan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo dan menandatangani 15 memorandum persefahaman (MoU), menekankan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dengan negara anggota Asean.

Perjanjian itu merangkumi pelbagai sektor, termasuk kewangan hijau, perkhidmatan maritim, meteorologi, aeroangkasa dan kewangan mampan.

Lee juga menyatakan hasratnya untuk mempelawa Indonesia dan negara anggota ASEAN untuk mengambil bahagian dalam pembangunan dinamik Kawasan Teluk Besar (GBA) Guangdong-Hong Kong-Macao.

Beliau turut dijadual ke Malaysia pada Khamis.

Pada sidang media, Lee menekankan mengenai hubungan perdagangan dan pelaburan yang terjalin lama dan rapat antara Hong Kong dan Indonesia dan berazam untuk meningkatkan kerjasama dengan Indonesia merentasi pelbagai domain, termasuk perdagangan, pelaburan, kewangan, inovasi dan teknologi, serta budaya dan pelancongan. – Bernama, 27 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen