Harga makanan, bayaran faedah lonjak kos sara hidup isi rumah New Zealand


Kos sara hidup New Zealand untuk isi rumah meningkat sebanyak 7.2% dalam tempoh 12 bulan hingga Jun 2023. – Gambar AFP, 27 Julai, 2023.

KOS sara hidup New Zealand untuk isi rumah meningkat sebanyak 7.2% dalam tempoh 12 bulan hingga Jun 2023, disumbang terutamanya oleh kenaikan harga makanan, lapor Xinhua memetik jabatan statistik Stats NZ.

Ini berikutan peningkatan 7.7% dalam tempoh 12 bulan hingga Mac 2023, kata pengurus harga pengguna Stats NZ James Mitchell.

Beliau berkata harga makanan meningkat 12.7%, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada kos sara hidup yang lebih tinggi bagi kebanyakan kumpulan isi rumah.

“Harga yang lebih tinggi untuk bayaran faedah dan makanan runcit adalah penyumbang terbesar kepada kenaikan 7.2%.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga yang lebih rendah untuk bekalan dan perkhidmatan pengangkutan swasta seperti petrol dan diesel, terima kasih kepada subsidi kerajaan pada pengangkutan,” katanya.

Kos sara hidup isi rumah dengan perbelanjaan tertinggi meningkat 7.8% dalam tempoh 12 bulan hingga Jun 2023.

Penyumbang utama adalah bayaran faedah yang lebih tinggi dan isi rumah dengan perbelanjaan tertinggi berbelanja secara berkadar lebih banyak untuk pembayaran faedah berbanding kumpulan isi rumah lain, katanya.

Kos sara hidup isi rumah dengan perbelanjaan terendah ialah 6.9% dalam tempoh 12 bulan hingga Jun 2023, menurut statistik itu.

Penyumbang utama kepada peningkatan ini ialah makanan runcit, sewa, buah-buahan dan sayur-sayuran serta bayaran faedah.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga yang lebih rendah untuk bekalan dan perkhidmatan pengangkutan persendirian, kata Mitchell.

Setiap suku tahun, indeks harga kos sara hidup isi rumah menilai bagaimana inflasi mempengaruhi 13 kumpulan isi rumah yang berbeza dan purata isi rumah.

Indeks harga pengguna mengukur bagaimana inflasi mempengaruhi New Zealand secara keseluruhan. – Bernama, 27 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen