PENYANDANG DAP yang digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang mesti bersatu dan bekerjasama untuk memastikan Pakatan Harapan memenangi negeri itu semula, kata pengerusi parti Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata beliau menyedari tindak balas daripada penyandang DAP yang diketepikan daripada bertanding semula tetapi menggesa semua orang untuk terus bersatu.
“Kami berharap mereka menghormati, menerima dan menyokong keputusan parti.
“Mari kita bersatu untuk memastikan kita dapat mengekalkan Pulau Pinang,” katanya kepada wartawan di Pulau Pinang malam tadi
Lim merujuk kepada kritikan daripada Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy dan Adun Bagan Dalam M. Satees yang mendakwa kurangnya ketelusan dalam keputusan parti untuk tidak mencalonkan semula mereka.
Ketua Wanita DAP Chong Eng juga menyatakan kekecewaannya kerana tidak terpilih untuk bertanding semula.
Lim berkata DAP mahu mencapai keseimbangan antara kesinambungan dan pembaharuan untuk memenuhi jangkaan pengundi muda.
“Saya fikir apa yang perlu kita lakukan ialah bergerak ke hadapan dan memastikan kita boleh memperoleh kemenangan,” katanya.
Susulan pengumuman calon DAP Satees mendakwa terdapat individu seperti ‘maharaja’ dalam DAP yang menentukan senarai calon untuk bertanding, menggugurkan mereka yang pernah menjadi penyokong Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
DAP akan bertanding di 19 kerusi, di mana tujuh penyandangnya digugurkan. – 27 Julai 2023.
Komen