Penyanyi Ireland Sinead O'Connor meninggal dunia pada usia 56 tahun


Penyanyi pop Ireland Sinead O'Connor yang terkenal di seluruh dunia pada 1990-an meninggal dunia pada usia 56 tahun, lapor media Ireland semalam. – Gambar EPA, 27 Julai, 2023.

PENYANYI pop Ireland Sinead O’Connor yang terkenal di seluruh dunia pada 1990-an meninggal dunia pada usia 56 tahun, lapor media Ireland semalam.

Berita pemergiannya diumumkan oleh ahli keluarganya dalam satu kenyataan semalam.

“Dengan dukacitanya kami ingin mengumumkan Sinead telah meninggal dunia.

“Ahli keluarganya dan rakan-rakan amat bersedih dan meminta tidak diganggu ketika ini,” lapor penyiar kebangsaan Ireland RTE.

Dilahirkan di County Dublin, O’Connor mengeluarkan 10 album dalam kerjayanya daripada “I Do Not Want What I Haven’t Got” hingga “I’m not Bossy, I’m the Boss” 2014 dan terkenal dengan lagu ciptaan Prince bertajuk “Nothing Compares 2 U” yang dikeluarkan pada tahun 1990.

Perdana Menteri Ireland Leo Varadkar mengetuai penghormatan kepada penyanyi itu dengan berkata “muziknya digemari di seluruh dunia dan bakatnya tiada tandingan”.

“Takziah kepada keluarganya, rakan-rakannya dan semua yang menyukai muziknya,” tambahnya.

Penyanyi yang dahulunya terkenal dengan imej kepala botak pernah menimbulkan kontroversi sepanjang kerjayanya kerana sering bercakap menentang Katolik. – AFP, 27 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen