Zeti belum beri keterangan dalam perbicaraan 1MDB


Bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz merupakan saksi yang ditunggu-tunggu di dalam perbicaraan kes 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2023.

BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz belum lagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Najib Razak hari ini.   

Ini adalah kerana peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib belum lagi selesai melakukan pemeriksaan balas terhadap bekas ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan BSI Bank, Kevin Micheal Swampillai, yang merupakan saksi ke-44 pendakwaan sebelum meneruskannya dengan Zeti sebagai saksi.

Terdahulu, Zeti yang merupakan saksi yang ditunggu-tunggu di dalam perbicaraan ini hadir di mahkamah pada pukul 1.54 tengah hari kerana beliau dijadualkan memberikan keterangan sebagai saksi ke-46 pendakwaan. 

Difahamkan, Zeti akan hadir lagi ke mahkamah esok.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh Shafee,  Swampillai memberitahu mahkamah sebarang transaksi berkaitan 1MDB akan memberi fi yang paling lumayan kepada bank itu. 

Beliau berkata transaksi melibatkan 1MDB adalah besar dan fi yang diperoleh bank itu juga memang lumayan.

Dalam prosiding sebelum ini,  Swampillai memberikan keterangan bagaimana beliau dan bekas rakan sekerjanya  Yeo Jiawei mampu mendapat keuntungan untuk mereka dengan mengendalikan transaksi 1MDB dan saksi itu mengakui beliau memperoleh komisen hampir AS$6 juta daripada bank itu di atas peranannya dalam melaksanakan transaksi berkaitan 1MDB dengan BSI Bank.  

Bagaimanapun, wang itu dikembalikan selepas pihak berkuasa Singapura memulakan siasatan dan menyoal siasat beliau mengenai wang yang diterimanya itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama, 26 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen