Himpunan di Parlimen: Tindakan di bawah APA 2012 jika ingkar


Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan bertindak mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang ingkar arahan polis.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.      

POLIS akan bertindak tegas terhadap individu dan pihak yang menyertai perhimpunan yang dirancang di luar bangunan Parlimen esok, oleh kerana tiada permohonan permit dibuat oleh penganjur perhimpunan itu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan bertindak mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang ingkar arahan polis dan melanggar undang-undang.

“Kita akan memantau keadaan di lokasi dan akan bertindak mengikut APA 2012, kalau ada yang ingkar arahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini.

Difahamkan Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan di luar bangunan Parlimen esok bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Yang Dipertua  Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dalam pada itu Fuzi sekali lagi mengulangi bahawa PDRM telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat, termasuk meningkatkan  jumlah anggota yang terlibat sekiranya berlaku pertambahan kawasan pilihan raya pada kali ini. 

Beliau berkata ketika ini, kira-kira 79,000 anggota ataupun 69 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota PDRM pelbagai jabatan dan unit akan terlibat.

“Kita sudah 13 kali mengadakan pilihan raya umum dan ini adalah kali ke-14 , diharap masyarakat ambil tindakan positif dan menggunakan hak mereka sebagai pengundi sebaik mungkin,” katanya. 

Menurutnya kawalan keselamatan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa khasnya ketika menjelang kempen pilihan raya serta hari mengundi dan orang ramai tidak perlu bimbang atau rasa takut sepanjang tempoh itu. 

Sebelum  itu Mohamad Fuzi memberi ucapan tahniah kepada seramai 10,133 pegawai, anggota dan pegawai awam PDRM yang menerima  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sepanjang tahun 2017. – Bernama, 27 Mac, 2018.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen