Bicara kes 1MDB sambung semula selepas sebulan tangguh


Bekas perdana menteri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai 2023.

SELEPAS ditangguhkan selama sebulan, perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadap bekas perdana menteri Najib Razak disambung semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah sedang melakukan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-44, bekas ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan BSI Bank, Kevin Micheal Swampillai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang dijadualkan bermula pagi ini ditangguhkan ke sesi petang kerana Shafee tidak berada di mahkamah pada waktu ditetapkan.

Sebelum prosiding bermula, Shafee memohon maaf kepada mahkamah kerana tidak dapat berada di mahkamah seperti dijadualkan kerana sakit kepala yang teruk pagi tadi.

Terdahulu, bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz tiba di mahkamah pada pukul 1.54 tengah hari kerana beliau dijadualkan untuk memberi keterangan selaku saksi ke-46 pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung. – Bernama, 26 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen