AGC, Umno bantah 3 individu cabar kelulusan 2 jawatan parti tidak dipertandingkan


JABATAN Peguam Negara (AGC) dan Umno hari ini membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman tiga individu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang meluluskan usul tambahan Umno supaya dua jawatan utama tidak dipertandingkan pada pemilihan majlis tertinggi parti itu.

Mereka ialah ahli Umno cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC cawangan Lembah Pantai, P. Vellasamy selaku pemohon yang memfailkan permohonan itu pada 15 Mei lepas dengan menamakan Saifuddin, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Umno sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili AGC berkata pihaknya membantah permohonan itu atas alasan keputusan yang dicabar oleh ketiga-tiga pemohon tidak boleh disemak melalui semakan kehakiman kerana keputusan menteri tersebut berkaitan keputusan parti politik.

“Ketiga-tiga pemohon juga tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan undang-undang berkenaan,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh pada prosiding hari ini.

Sementara itu, peguam Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Umno berhujah yang pemohon (Satarriah dan Zaidi) tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap Umno kerana mereka ditamatkan secara automatik daripada menjadi ahli parti.

“Cukuplah untuk mengatakan bahawa mereka bukan ahli Umno. Mereka tidak lagi mempunyai kepentingan yang tulen terhadap sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat oleh Umno mahupun menteri dalam negeri kerana keahlian mereka dalam Umno ditamatkan secara automatik,” kata Hafarizam.

Menurut peguam itu, Vellasamy, yang merupakan ahli MIC, juga tidak mempunyai locus standi dalam mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman kerana beliau jelas tidak terjejas dengan usul tambahan Umno dan keputusan menteri dalam negeri pada 7 Mac.

Peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff yang mewakili ketiga-tiga pemohon pula berhujah, permohonan itu mempunyai merit untuk didengar dan diputuskan oleh mahkamah kerana ia melibatkan keputusan administratif yang dibuat oleh RoS.

Hakim Amarjeet kemudian menetapkan 30 Ogos untuk keputusan.

Dalam permohonan itu, kesemua pemohon berkata pada 13 Januari lepas, suatu usul tambahan Umno dicadangkan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 yang berlangsung dari 11 Jan 2023 hingga 14 Jan 2023 mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada Pemilihan Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2023-2026.

Mereka berkata pada 2 Mac lepas, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada setiausaha agung Umno bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

Ketiga-tiga pemohon berkata dalam surat itu RoS mendapati usul tambahan Umno yang diputuskan di Perhimpunan Agung Umno 2022 adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan Umno, oleh itu ia tidak sah. 

Menurut mereka, RoS mewajibkan Umno untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu.

Bagaimanapun, kesemua pemohon berkata pada 7 Mac lepas, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 kepada Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama. – Bernama, 26 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen