51 paus mati terdampar di Australia Barat


51 ekor ikan paus bersirip panjang ditemui mati di Pantai Cheynes, kira-kira 400km tenggara Perth, Australia Barat. – Gambar EPA, 26 Julai 2023.

JABATAN Biodiversiti, Pemuliharaan dan Daya Tarikan (DBCA) Australia Barat hari ini mengesahkan kematian 51 ikan paus yang terdampar di Pantai Cheynes di barat daya negeri itu, lapor Xinhua.

“Kakitangan Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar bekerjasama dengan sukarelawan berdaftar dan organisasi lain untuk cuba menyelamatkan baki 46 ikan paus dengan membawanya ke perairan yang lebih dalam pada siang hari,” menurut jabatan itu.

Jabatan itu juga menggesa orang ramai supaya menjauhi pantai untuk keselamatan mereka.

Cheynes Beach Caravan Park berkata DBCA menubuhkan pasukan pengurusan insiden.

“Kakitangan berpengalaman dari DBCA termasuk doktor haiwan Zoo Perth dan pakar fauna marin bersama peralatan khusus, termasuk kapal dan anduh digerakan,” menurut hantaran terkini taman itu di media sosial.

Pada pagi Selasa DBCA menerima laporan sekumpulan besar ikan paus bersirip panjang berkumpul kira-kira 150 meter dari Pantai Cheynes.

Berikutan insiden itu kerajaan mengeluarkan amaran kerana haiwan yang mati dan cedera mungkin menarik jerung menghampiri pantai. – Bernama, 26 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen