Gabungan politik awam Sudan gesa konflik ditamatkan segera


Pada 15 April, konflik bersenjata meletus antara Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), yang mencetuskan kepada krisis kemanusiaan di negara itu. – Gambar AFP, 26 Julai, 2023.

THE Forces of Freedom and Change Alliance (FFC), sebuah gabungan politik awam di Sudan hari ini menggesa agar konflik berdarah di Sudan dihentikan segera, lapor Xinhua.

Gabungan itu mendesak agar proses politik segera digerakkan bagi menamatkan perang, mengambil tindak balas berkesan untuk menyelesaikan bencana kemanusiaan dan melindungi orang awam.

Dalam mesyuarat selama dua hari yang diadakan di Kaherah, ibu negara Mesir, gabungan itu juga mahu pihak yang bertelagah memikul kewajipan untuk bertanggungjawab atas semua pelanggaran yang mereka lakukan.

FFC menuntut supaya proses politik termasuk penyertaan pasukan awam Sudan yang menyokong penamatan konflik serta peralihan pentadbiran yang demokratik dilaksanakan secara menyeluruh.

Inisiatif Arab Saudi-Amerika Syarikat (AS) perlu disepadukan dengan pelan hala tuju Kesatuan Afrika dan Pihak Berkuasa Antara Kerajaan untuk Pembangunan di Afrika Timur (IGAD), keputusan Persidangan Negara Jiran Sudan serta usaha damai komuniti serantau dan antarabangsa.

Pada 15 April, konflik bersenjata meletus antara Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), yang mencetuskan kepada krisis kemanusiaan di negara itu.

FFC yang menerajui usaha mengembalikan negara itu kepada pemerintahan awam itu turut menyeru pihak yang bertelagah untuk mencapai gencatan senjata kekal.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan konflik yang berterusan di Sudan menyebabkan lebih 3,000 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 6,000 yang lain cedera.

Sekurang-kurangnya 16 orang awam terbunuh dalam serangan udara dan artileri di kawasan kejiranan di bandar Omdurman, barat ibu negara Sudan Khartoum semalam.

Sementara itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata situasi kemanusiaan di Sudan bertukar menjadi malapetaka.

“Semalam menandakan 100 hari meletusnya perang di Sudan, krisis yang mengubah situasi kemanusiaan menjadi malapetaka besar,” kata penyelaras kemanusiaan PBB di Sudan, Clementine Nkweta-Salami, dalam satu kenyataan pada Selasa. – Bernama, 26 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen